Sejarah

Pertama kali upacara menunaikan ibadah Haji diperintahkan oleh Allah SWT adalah ketika zaman Nabi Ibrahim. Untuk menguji kecekalan iman, Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk meninggalkan isterinya Siti Hajar, dan anaknya Ismail di tengah padang pasir yang terletak di antara dua bukit iaitu Safa dan Marwah di Mekah dengan hanya berbekalkan keperluan asas.


Rukun Sa’i

Setelah Nabi Ibrahim meninggalkan mereka berdua di padang pasir tersebut, mereka telah kehabisan bekalan dan Siti Hajar telah berulang alik dari bukit ke bukit sebanyak tujuh kali untuk mencari air bagi anaknya Ismail yang kehausan. Upacara Sa’i, yang dikerjakan oleh jemaah ketika Haji dan Umrah adalah  peragaan semula perbuatan Siti Hajar ketika sedang mencari air.

Keajaiban berlaku apabila terdapat mata air dari bumi, kini dikenali sebagai telaga Zamzam, memancur keluar dari tanah dan menyelamatkan mereka berdua.

Kaabah sebagai Tempat Ibadah

Beberapa tahun kemudian,  Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail telah diperintahkan oleh Allah untuk membina sebuah monumen untuk didedikasikan kepada Allah berdekatan dengan telaga Zamzam. Monumen yang kini dikenali sebagai Kaabah ini, adalah bertujuan untuk para jemaah melakukan ziarah dan ibadah dengan menyembah Tuhan yang satu. Setelah mereka selesai membina Kaabah,  Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk mengisytiharkan suatu kunjungan ke tapak tersebut, dalam erti kata lain, Haji, bagi seluruh umat manusia agar mereka boleh datang berkumpul bersama bagi mengabdikan diri kepada Allah.


Berabad kemudian, penduduk di Mekah telah meninggalkan amalan menyembah satu Tuhan dan telah berubah menjadi penyembahan berhala dan politeisme pada ketika itu dikenali sebagai Zaman Jahiliyyah (Zaman Kejahilan). Pada ketika ini, Kaabah telah dikelilingi oleh 360 berhala dan patung dewa berupa manusia dan haiwan yang disembah secara terbuka.

Zaman Nabi Muhammad

Pada tahun 610 Masihi, Nabi Muhammad ﷺ telah menerima wahyu yang pertama daripada Allah yang mana pada ketika itu baginda diperintahkan untuk mengembalikan ajaran monotisme iaitu kepercayaan kepada Tuhan yang Esa. Dua puluh tahun selepas menerima wahyu pertama, Nabi Muhammad ﷺ telah mengumpul agamawan dan pihak berkuasa politik untuk menakluki Mekah, kota kelahiran baginda dan tempat baginda menanggung pelbagai penganiayaan di tangan penduduknya. Baginda telah memusnahkan patung patung berhala yang terdapat di dalam dan di sekitar Kaabah dan mendedikasikan kembali Kaabah bagi tujuan menyembah satu Tuhan, Allaw SWT.

Jabal al-Rahmah adalah tempat di mana Nabi Muhammad ﷺ menyampaikan khutbah terakhir baginda. Pada tahun 623 Masihi, sejurus sebelum kewafatan baginda, Nabi Muhammad ﷺ sendiri telah memimpin ribuan pengikut baginda untuk mengerjakan Hajj al-Wida. Baginda memberikan khutbah terakhir baginda di Jabal Arafat, di mana baginda menegaskan tentang kesaksamaan dan penyatuan umat Islam, sebagai simbol kesamarataan dan penyatuan dalam ibadah Haji. Ibadah Haji yang dikerjakan oleh Nabi Muhammad ﷺ pada ketika itu masih diteruskan sehingga kini.

Sepanjang era kepimpinan Nabi Muhammad ﷺ, umat Islam telah berdepan dengan larangan untuk memasuki kota suci Mekkah dan sekaligus hak mereka bagi menunaikan ibadah Haji dan Umrah telah di sekat.  Mekah di diami oleh kaum Arab yang masih taksub menyembah berhala dan belum bersedia untuk menerima kebenaran dan sinar Islam. Oleh kerana permasalahan tersebut, Nabi Muhammad ﷺ dan pengikut-pengikut baginda telah berhijrah dari kota Mekah dan menjadikan Madinah sebagai rumah kedua mereka di mana mereka diterima dengan sepenuh hati.

Perjanjian Hudaibiyah

Pada waktu ini, Nabi Muhammad ﷺ sedar akan keinginan umat Islam untuk menziarahi Mekah dan mengerjakan Umrah.  Pada tahun 628 Masihi, Nabi Muhammad ﷺ membuat keputusan untuk kembali ke Mekah agar baginda dan umat Islam dapat mengerjakan ibadah Umrah. Baginda dan pengikut-pengikut baginda di tahan di Hudaibiyah dan tidak dibenarkan meneruskan perjalanan oleh kaum Qurasyh. Kaum Qurasyh tetap tidak membenarkan Nabi Muhammad ﷺ dan pengikut-pengikutnya meneruskan perjalanan meskipun baginda Nabi Muhammad ﷺ menjelaskan bahawa mereka hanya ingin mengerjakan Umrah.

Nabi Muhammad ﷺ enggan menggunakan kekerasan bagi memasuki kota Mekah, maka suatu rundingan diplomasi telah dijalankan. Suatu perjanjian telah dimeterai dan ditandatangani berkenaan dengan lawatan ziarah ke Mekah dan dikenali sebagai Perjanjian Hudaybiyyah. Perjanjian tersebut dimeterai selama sepuluh tahun sebagai perjanjian damai di antara kedua-dua pihak. Umat Islam tidak dibenarkan mengerjakan Umrah pada tahun tersebut, namun, diminta untuk mengerjakan Umrah pada tahun berikutnya.

Umrah yang Pertama

Ibadah Umrah adalah ibadah yang pertama Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam kerjakan selepas penghijrahan ke Madinah. Ianya berlaku pada pagi hari ke empat dalam tahun 629 Masihi., selepas Perjanjian Hudaybiyyah pada tahun 628 Masihi dan Umrah pertama tersebut berakhir selepas tiga hari.

Penaklukan Kota Mekah

Pada tahun 630 Masihi, umat Islam telah menjadi suatu angkatan yang digeruni dan Nabi Muhammad ﷺ telah memutuskan untuk menyerang Mekah atas nasihat para sahabat dan dengan kehendak Allah.

Pemimpin kaum Qurasy memutuskan untuk menyerah diri apabila mereka menyedari bahawa mereka tidak boleh melawan umat Islam, sebaik sahaja ketibaan umat Islam di kota Mekah. Kaum Qurasy amat gerun akan pertempuran yang bakal berlaku. Walaubagaimanapun, Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang yang sangat mulia dan pemaaf dan baginda telah memaafkan sesiapa sahaja yang tidak ingin lagi menentang umat Islam, bahkan musuh-musuh ketat baginda sekalipun.

Kemenangan umat Islam ini dikenali sebagai “Penaklukan / Pembebasan Kota Mekah” dan sehingga ke hari ini dijadikan sebagai contoh untuk menyelesaikan sebarang konflik tanpa pertumpahan darah.