7 Panduan Semai Iman Bagi Saudara Baru

Hidayah adalah nikmat yang paling besar yang diperoleh manusia di dunia ini. Ia memimpin manusia keluar daripada kegelapan ke arah penuh rahmat dan keberkatan yakni daripada lorong kehancuran kepada lorong kejayaan.


Namun, diakui bahawa tidak mudah bagi seseorang saudara baru yang memeluk Islam untuk berhadapan dengan kehidupan yang baru. Pastinya ada cabaran untuk menjaga iman. Ini memandangkan ramai di antara umat Islam yang sentiasa bergelut dengan amalan memelihara iman sepanjang kehidupan sehingga ke liang lahad. 

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan Imam Al-Hakim dan Ath-Thabarani:

إِنَّ الإِيْمَانَ لَيَخْلُقُ فِي جَوْفِ أَحَدِكُمْ كَمَا يَخْلُقُ الثَّوْبُ، فَاسْأَلُوْا اللهَ أَنْ يُجَدِّدَ الإِيْمَانَ فِي قُلُوْبِكُمْ

“Sesungguhnya iman itu pasti akan lusuh di dalam diri kalian sepertimana sehelai kain yang menjadi lusuh. Maka mintalah pada Allah supaya Dia memperbaharui iman di dalam hati kalian.”

Oleh itu, beberapa perkara di sini boleh dijadikan panduan memelihara iman:


Doa

Doa merupakan antara perisai rohani bertindak sebagai benteng pertahanan yang kuat buat seseorang hamba Allah (SWT). Menerusi doa Allah (SWT) membuka ruang kepada seorang hamba untuk mengadu dan meminta. 

Bahkan Allah (SWT) sendiri memerintah supaya hambaNya berdoa kepadanya, seperti firmanNya:

وَاِذَا سَاَلَكَ عِبَادِيْ عَنِّيْ فَاِنِّيْ قَرِيْبٌ ۗ اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِۙ فَلْيَسْتَجِيْبُوْا لِيْ وَلْيُؤْمِنُوْا بِيْ لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُوْنَ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku Kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.” (Surah Al-Baqarah:186) 

Maka seorang saudara baru juga harus sentiasa berdoa kepada Allah (SWT) agar imannya terus terpahat kuat di dalam hatinya.

َرَّبنَا َلاتُِزغْ ُقُلوَبنَا َبْعَدإِذْ َهَدْيتَنَا َوَه ْب َلنَا ِمن َّلُدنَك َرْحَمًةۚإِنََّكأَن َتاْلَوَّها ُب

“Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami selepas Engkau memberikan kami hidayah, dan kurniaknlah kami dari sisiMu rahmat. Sesungguhnya Engkaulah yang Pemberi.” (Surah Al-Imran:8)

Memilih Sahabat

Sepanjang perjalanan mengaup keberkatan, amalan memilih sahabat adalah amat penting demi memastikan landasan yang dilalui tidak terpesong dan sentiasa ada peneman yang mengingatkan. Sahabat itu mestilah seseorang yang memiliki takwa kerana ia menjadi syarat kejayaan. 

Allah (SWT) ada menyebut:

اَلۡاَخِلَّاۤءُ يَوۡمَـئِذٍۢ بَعۡضُهُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوٌّ اِلَّا الۡمُتَّقِيۡنَ

“Teman-teman karib pada hari itu (kiamat) menjadi musuh sesama mereka melainkan orang-orang bertakwa.” (Surah Az-Zukhruf:67)

Pemilihan sahabat menentukan pembentukan agama yang dibawa oleh seseorang. Sekiranya mempunyai teman karib yang bertakwa maka ia akan mempengaruhi seseorang itu dan begitu juga sebaliknya yang boleh membawa kepada kerugian diri daripada segi kerohanian dan pemeliharaan iman.

Jangan Terburu-buru

Apabila seseorang memeluk Islam pasti banyak perkara dan amalan yang dirasakan perlu dilakukan. Ia berkemungkinan menjadi sumber kebingungan.

Islam diturunkan secara berperingkat-peringkat sepanjang 23 tahun. Ini menunjukkan bahawa agama juga perlu diamalkan secara bertahap dan jangan terburu-buru. Mulakan dengan perkara utama dahulu sepertimana Rasulullah ﷺ yang memulakan dengan urusan tauhid dahulu supaya di dalam dada seorang muslim itu ada terbina iman yang teguh. 

Hindari Dosa, Lakukan Ibadah

Untuk menjaga iman, seharusnya segala dosa dihindari. Tidak dapat dinafikan bahawa manusia tidak sempurna dan pasti akan melakukan dosa. Namun perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah bertaubat. 

Dosa dan iman itu ibarat dua perkara yang berada pada sebuah neraca kerohanian. Jika iman semakin bertambah, maka dosa akan semakin menjauh memandangkan iman sifatnya bertambah dan berkurang sepanjang masa menerusi amalan-amalan yang dilakukan.

Sebagai seorang pemeluk Islam yang baru dan masih belajar, seseorang itu boleh lakukan ibadah sunat di samping melakukan ibadah wajib agar diri sibuk dan tidak terlintas untuk melakukan dosa yang mengurangkan iman.

Tadabbur Al-Quran

Tadabbur bermaksud mempelajari dan menghayati kandungan al-Quran secara lebih mendalam. Membaca terjemahan al-Quran boleh membantu memahami mesej yang Allah (SWT) sampaikan, khususnya bagi bukan para penutur bahasa Arab. Ini membantu pemahaman isi apabila selanjutnya membaca buku tafsir al-Quran.

Mulakan dengan buku tafsir yang ringkas sebelum membaca buku tafsir yang lebih tebal seperti tafsir Ibn Kathir dan sebagainya. Terjemahan tidak sama dengan pentafsiran kerana terjemahan hanyalah menterjemah bahasa ke bahasa lain semata-mata. Tafsir pula menghurai makna yang tersirat daripada perkataan, termasuklah menjelaskan hukum-hakam, kisah-kisah, aspek tatabahasa dan sebagainya.

Hargai Hidayah Yang Dikurniakan

Seseorang yang pernah hidup susah akan menjadi bersyukur apabila dia mengingati masa sukarnya lalu menghargai harta yang dilimpahkan. Pengasas Bank Ar-Rajhi di Arab Saudi, Sulaiman Bin Abdul Aziz Ar-Rajhi, berasal daripada keluarga miskin. Apabila sudah berjaya dan menjadi kaya, beliau menghargai kehidupan yang dikurniakan kini lalu menjadi lebih aktif bersedekah dan berwakaf. Antaranya melalui Yayasan Amal Sulaiman Bin Abdul Aziz Al-Rajhi. 

Bagaimana pula jika kita menghargai nikmatnya mendapat hidayah Islam? Sudah tentu kita akan menjaganya agar tidak terjerumus semula ke lembah yang gelap. Inilah yang dinamakan kemanisan iman seperti yang disebut oleh Rasulullah ﷺ:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيْمَانِ، مَنْ كَانَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُـحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ  أَنْ يَعُوْدَ فِـي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِـي النَّارِ.

“Tiga perkara sesiapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman… seseorang yang benci untuk kembali kepada kekafiran sepertimana dia tidak suka dicampak ke dalam api neraka.” (Sahih Al-Bukhari 16)

Pelajari Sirah Kehidupan Rasulullah ﷺ

Untuk menjalani kehidupan sesuai dengan tuntutan agama, Rasulullah ﷺ merupakan contoh terbaik untuk diikuti. Baginda melalui banyak peristiwa sukar di dalam kehidupannya untuk memperjuangkan agama yang dibawanya. 

Banyak berinteraksi dengan pelbagai kelompok orang mencakupi para pemimpin kaum wanita dan golongan kanak-kanak. Apabila mempelajari bagaimana halusnya budi pekerti Baginda mendepani semua situasi dan ragam manusia, ia membantu mengukuhkan keyakinan terhadap Islam kerana Islam dipimpin oleh seorang insan agung yang selayaknya dicontohi.


Ditulis oleh: Ustaz Abdul Rahman Rahuni
Penulis merupakan graduan Universiti Islam Madinah menuntut dalam bidang Syariah Islamiah. Kini beliau merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Ugama Islamiah, Tawau Sabah.

Disunting oleh: Helmy Sa’at