Bagaimana Seekor Unta Mengajar Saya Cara Untuk Berdepan Dengan Kegelisahan

Berusaha melakukan yang terbaik atau mempercayai Allah?


Saya mempunyai masalah kegelisahan. Saya sentiasa khuatir dan saya hidup dengan hakikat itu untuk sekian lamanya. Saya percaya ianya berpunca daripada salah satu fasa di waktu kecil yang mana saya sentiasa rasa rendah diri dan kurang berkeyakinan;sentiasa merasa kurang dari yang lain.

Membesar di Kota Meritokratik Singapura

Saya membesar di Singapura-ya, kota kepada filem terkenal ‘Crazy Rich Asians’. Ianya juga merupakan rumah bagi ribuan kanak-kanak yang menghabiskan banyak waktu di sekolah, diikuti dengan kelas belajar piano ataupun biola, karate atau kelas renang, kemudian tugasan menyelesaikan kerja rumah. Selain itu, juga harus menghadiri kelas tambahan pada petang harinya. Dan mungkin juga, kelas bahasa.

Nasib baik atau mungkin, malang sekali, saya tidak perlu melakukan semua itu kerana saya datang daripada keluarga kelas rendah dan sederhana. Kami tidak mampu untuk membiayai kelas-kelas tersebut. Ia juga membawa maksud bahawa saya berada di belakang kanak-kanak lain yang telah berkembang begitu banyak pada usia sepuluh tahun, yang kadang kala berkembang seperti telah belajar Ijazah Sarjana Muda pada usia muda.

Kesempurnaan dan Kegagalan


Saya juga merupakan pelajar yang berada di aras sederhana. Saya mahir dalam banyak subjek di sekolah, lebih-lebih lagi subjek kemanusiaan, tetapi saya sangat lemah di dalam subjek Matematik dan Fizik.

Walaupun saya sedar akan kelemahan dan kelebihan saya pada usia yang muda, saya tidak pernah membiarkan diri saya menjadi mangsa keadaan dan saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik di dalam setiap perkara. Saya cuba untuk yakinkan diri saya untuk percaya bahawa dengan setiap usaha dan keperibadian yang betul, saya juga mampu untuk mencapai apa sahaja kejayaan yang dikecapi oleh orang lain.

Pada tahap tertentu,saya berjaya mencapainya. Namun ianya juga menjadi titik kelemahan dan punca kegelisahan saya.

Kerana saya telah berjaya mencapai banyak perkara, saya akhirnya menjadi seorang yang percaya bahawa diri saya tidak dapat dihentikan. Namun, sebagai manusia biasa,kita pasti akan berdepan dengan kegagalan dan kejatuhan.

Malangnya, kerana bagaimana saya telah berjaya merubah diri saya untuk menjadi seorang yang berjaya selama bertahun-tahun, saya tidak mampu menangani kegagalan dan ia memberi kesan buruk kepada kesihatan mental saya. Saya mahu mengawal keadaan dan ketika saya tidak dapat melakukannya, saya mengalami kegelisahan dan fikiran saya bercelaru sehingga membuat saya berfikir berlebihan dan ragu-ragu.

Ikat Untamu

Baru-baru ini, saya menghadiri seminar mengenai kesihatan mental dan kesejahteraan yang dianjurkan oleh para profesional Muslim di Singapura. Asatizah yang mengemudi acara dan memberi seminar tersebut menjelaskan bagaimana umat Islam dapat mengikut sunnah dan hadis Nabi Muhammad untuk membantu membimbing kita untuk menjadi yang terbaik,justeru membantu kita menjaga kesihatan mental kita.

Salah satu perkara paling mendalam yang dikongsikan yang sangat sesuai dengan diri saya adalah konsep tawakkul (bergantung kepada Allah) dan bagaimana ia berbeza dengan tamanni (pemikiran angan-angan).

Di layar, beliau memasang gambar unta yang diikat pada tiang. Dia kemudian berkongsi hadis yang sederhana tetapi sangat menusuk jiwa. Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadis tersebut menceritakan kisah seorang lelaki Badwi yang meninggalkan untanya tanpa mengikatnya.

Nabi Muhammad ﷺ bertanya kepadanya, “Mengapa kamu tidak mengikat unta kamu?”

Orang Badwi itu menjawab, “Saya bertawakkal kepada Allah.”

Nabi ﷺ kemudian menjawab, “Ikatlah unta mu terlebih dahulu dan kemudian bertawakkal kepada Allah.”

Dengan itu, saya mendapati bahawa cara untuk berdepan dengan kegelisahan saya ini bukanlah dengan berputus asa dalam mengawalnya akan tetapi keseimbangan di antara yakin pada diri dan percaya dengan Allah dan rancanganNya.

Percaya Pada Diri Sendiri & Percaya kepada RancanganNya

Mempercayai Allah adalah tawakkul. Itu adalah teras iman kita. Walaupun atas nama agama kita, ‘Islam’ bermaksud tunduk kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Ianya juga banyak disebut di dalam Al-Quran.

ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا

…Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

[At-Talaq 65:3]

Dalam hadis mengikat unta, Nabi kita yang dikasihi Muhammad ﷺ mengajarkan kita pelajaran yang sangat penting – yang mudah tetapi sering diabaikan.

Terus berusaha dan cuba melakukan pelbagai cara untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang kita hadapi tidak bermakna kita tidak bertawakul. Maksud tawakkul yang sebenar adalah memberi yang terbaik dalam segala yang kita lakukan dan kemudian menyerahkan yang lain kepada Allah. Kami bertawakkal kepadaNya bahawa Dia akan mengurus selebihnya yang bukan di bawah kawalan kita.

Dengan itu, jika sesuatu yang buruk terjadi dan tidak sesuai dengan yang kita kehendaki, kita masih dapat memperoleh ketenangan kerana kita mengetahui bahawa kita telah melakukan yang terbaik. Selebihnya terletak pada qadr (ketetapan).

Kembali kepada soalan yang membuka bahagian ini: untuk melakukan yang terbaik atau mempercayai Allah? Cukup gantikan ‘atau’ dengan ‘dan’.

Buat sehabis baik dan percaya dengan Allah. Ikatlah untamu dan serahkan kepada Allah untuk menentukannya.

Kerana sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui.

Ditulis Oleh: Abdullah Zaidani