5 Perkara Yang Saya Pelajari Mengenai Tabiat Sihat Nabi Muhammad ﷺ

Dengan pekerjaan yang terikat dengan kerja pejabat, saya sentiasa duduk berjam lamanya di hadapan laptop. Terutama sekali apabila bekerja daripada rumah, ianya sangat memberi cabaran lebih-lebih lagi kepada kesihatan saya. Walaupun saya telah menanam niat untuk menjaga kesihatan saya, duduk berjam-jam tanpa peregangan dan bekerja dalam kedudukan yang tidak sihat secara ergonomik dapat merosakkan rancangan itu dengan mudah. Pada hari-hari yang sibuk, makan makanan ringan dan kurang tidur juga lebih memburukkan keadaan.


Dari Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”  

(HR Bukhari No: 5933) 

Menjalankan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian sememangnya sangat mencabar kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhinya. Namun apabila saya membaca hadis ini, saya sedar bahawa kesihatan adalah salah satu pemberian Allah yang terbesar dan paling berharga buat hamba-hambaNya, oleh itu, saya seharusnya bersyukur dengan kesihatan yang telah Allah berikan kepada saya dan sepatutnya berusaha untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Faktor yang dapat menyebabkan seseorang sambil lewa dalam penjagaan kesihatannya ialah kurangnya ilmu pengetahuan mengenai cara yang mudah yang dapat dilakukan setiap hari. Berikut merupakan 5 perkara yang saya pelajari mengenai tabiat sihat Rasulullah ﷺ:

Makan Sederhana

Kita tahu bahawa pemakanan sihat boleh memberi kesan positif kepada kehidupan kita. Kajian menunjukkan bahawa kita harus makan makanan yang sihat dan seimbang secara berkala. Bukan hanya untuk menjaga berat badan, tetapi untuk meningkatkan tenaga, meningkatkan mood, memberikan kualiti hidup yang tinggi dan membantu dalam pencegahan penyakit.


Pemakanan yang sihat merangkumi pengambilan protein berkualiti tinggi, karbohidrat, lemak sihat, vitamin, mineral dan air dalam makanan yang anda ambil. Pengambilan makanan yang sederhana, secara amnya, merupakan salah satu kaedah terbaik untuk pemakanan sihat.

Amalan makan secara sederhana dapat mencegah penyakit,sama seperti yang ditekankan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Satu fakta menarik yang saya dapati mengenai saranan dalam Islam iaitu “1/3 untuk makanan, 1/3 untuk cecair dan 1/3 untuk nafas”. Ini sesuai dengan konsep ‘hara hachi bu’ Jepun yang bermaksud makan sehingga anda kenyang hanya 80%.

Diriwayatkan oleh Miqdam bin Madikarib,

“Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Makan dan Minum Perlahan-lahan

Ia mengambil masa lebih kurang 20 minit dari saat kita mula makan untuk otak kita menghantar isyarat kenyang. Kajian mengenai obesiti di Amerika Utara menunjukkan bahawa lelaki dan wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan mengambil lebih sedikit kalori ketika mereka memperlahankan kadar makan normal mereka. Makan dan minum yang perlahan akan membantu kita makan lebih sedikit makanan dan meningkatkan pencernaan kita, dan itu adalah amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri dan ianya sangat disarankan.

Daripada Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا، وَيَقُولُ: إِنَّهُ أَرْوَى وَأَبْرَأُ وَأَمْرَأُ، قَالَ أَنَسٌ: فَأَنَا أَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum. Baginda SAW bersabda: “Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat.” Anas berkata: Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.” 

[Riwayat Muslim (2028)]

Bersenam

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat mengesyorkan agar orang dewasa melakukan sekurang-kurangnya 2.5 jam latihan aerobik yang kuat atau 1.25 jam senaman lasak setiap minggu. Senaman telah terbukti dapat mencegah perkembangan barah juga; orang yang kerap bersenam dapat mengurangkan 24% kemungkinan mendapat penyakit barah.

Nabi Muhammad ﷺ sangat menggalakkan senaman fizikal. Baginda mempunyai beberapa sukan kegemaran termasuk memanah, menunggang kuda dan unta, dan berlari.

Dari Abu Hurairah dan sampai kepada Nabi SAW, baginda bersabda:

“Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam masing-masing keduanya itu terdapat kebaikan. Bersungguh-sungguhlah terhadap sesuatu yang bermanfaat bagimu dan jangan lemah semangat.

(HR Ibnu Majah No: 4158)

Menjaga Kebersihan Gigi

Tahukah anda bahawa kesihatan mulut kita memberi petunjuk mengenai kesihatan tubuh badan kita? Masalah di dalam mulut kita boleh menjejaskan seluruh badan kita. Kajian menunjukkan bahawa bakteria mulut dan keradangan yang berkaitan dengan bentuk penyakit gusi yang teruk (periodontitis) boleh menyebabkan komplikasi kehamilan dan kelahiran, dan beberapa penyakit seperti penyakit kardiovaskular dan radang paru-paru.

Nabi Muhammad ﷺ juga menganjurkan kebersihan gigi dan gusi dengan cara memberus gigi dan mencuci mulut dengan air.

Diriwayatkan oleh

Abu Hurairah RA anhu, Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.

Riwayat al-Bukhari (887)

Berpuasa

Pernahkah anda mendengar mengenai puasa berselang ataupun dikenali sebagai intermittent fasting? Puasa untuk tempoh masa yang singkat merujuk kepada suatu tempoh berkala tanpa pengambilan kalori atau terhad. Kebiasaannya ia terdiri daripada puasa harian selama 16 jam, puasa 24 jam pada hari ganti, atau puasa 2 hari seminggu. Semasa berpuasa, pengambilan kalori adalah bermula diantara sifar hingga 25% daripada keperluan kalori. Amalan ini telah terbukti dapat menyeimbangkan tahap hormon, mencegah tekanan oksidatif dan mengurangkan keradangan secara keseluruhan.

Puasa merupakan amalan Nabi Muhammad ﷺ, dan ianya bukan hanya dilakukan pada bulan Ramadhan. Baginda akan berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis dan juga pada 13, 14 dan 15 setiap bulan Islam, yang serupa dengan amalan puasa yang berselang.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” 

[Riwayat al-Tirmizi (747)] 

Sangat mengagumkan apabila kita mendapat tahu bahawa Islam selalu menyarankan tabiat sihat yang baik, bahkan sebelum adanya kajian saintifik mengenainya. Apakah perkara terbaik bagi kita umat Islam? Ianya ialah kita dapat mengamalkan tabiat sihat ini sambil menuai pahala mengikuti sunnah Nabi Muhammad ﷺ.

Ditulis Oleh: Hessy Trishandiani